Jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurangan

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat memantau keadaan banjir di lima kampung di Segamat pada Sabtu. - Foto APM Segamat
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat memantau keadaan banjir di lima kampung di Segamat pada Sabtu. - Foto APM Segamat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor terus mencatatkan penurunan mangsa banjir apabila mencatatkan 2,191 orang daripada 610 keluarga di 29 pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang Sabtu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu berbeza jika dibandingkan dengan 2,469 mangsa banjir daripada 675 keluarga di 29 PPS pada jam 2 petang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Mersing masih menjadi daerah paling tinggi menempatkan mangsa banjir iaitu 796 orang daripada 234 keluarga di enam PPS.

"Ini diikuti Kluang dengan 424 orang daripada 118 keluarga di tiga PPS; di Kota Tinggi pula melibatkan 416 orang daripada 104 keluarga di lapan PPS dan di Batu Pahat pula 414 orang daripada 117 keluarga di lima PPS," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, ini diikuti di Segamat yang merekodkan 121 orang daripada 33 keluarga di lima PPS manakala di Tangkak menempatkan 15 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.

"Di daerah Muar pula paling sedikit iaitu menempatkan lima mangsa banjir daripada satu keluarga di satu PPS," katanya.