Polis kesan lelaki disyaki khianat kereta milik juruacara

Cermin bahagian penumpang diconteng perkataan 'no parking' menggunakan cat hitam. Tong sampah dan beberapa botol arak diletakkan di atas kereta mangsa. - Foto: PDRM
Cermin bahagian penumpang diconteng perkataan 'no parking' menggunakan cat hitam. Tong sampah dan beberapa botol arak diletakkan di atas kereta mangsa. - Foto: PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat perbuatan khianat ke atas sebuah kereta milik seorang wanita yang ditinggalkan di kawasan parkir terbuka di Taman Pusat Kepong dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa yang bekerja sebagai juruacara membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.16 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 27 tahun itu telah meletakkan keretanya di hadapan sebuah rumah kedai pada jam lebih kurang 1 pagi.

"Sekitar jam 9 pagi, semasa mangsa ingin mengambil kereta didapati tayar keretanya tiada angin manakala terdapat sebuah tong sampah besar berwarna hijau dan beberapa botol arak serta sampah sarap diletakkan atas kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Eng Lai berkata, nombor pendaftaran kereta di dapat dicabut manakala cermin penumpang bahagian kanan diconteng perkataan 'no park' menggunakan cat hitam.

Katanya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang suspek lelaki berkeliaran di kawasan berhampiran dipercayai melakukan perbuatan khianat terbabit.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03 40482222.

"Motif kejadian masih dalam siasatan. Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM500.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan melakukan khianat yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun," ujarnya.