Pearly-Thinaah tersingkir di separuh akhir

Thinaah (kiri) dan Pearly terpaksa akur perjalanan di Masters Indonesia tersekat di peringkat separuh akhir. - Foto FB BAM
Thinaah (kiri) dan Pearly terpaksa akur perjalanan di Masters Indonesia tersekat di peringkat separuh akhir. - Foto FB BAM
A
A
A

BADI separuh akhir mula membelenggu beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila tewas kepada pasangan Jepun di Masters Indonesia, Jakarta pada Sabtu.

Mereka yang menjadi satu-satunya wakil tunggal negara di peringkat empat terbaik tewas straight set kepada Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 14-21, 19-21 dalam tempoh 50 minit dalam aksi di Stadium Istora Senayan.

Pasangan Jepun itu menghuni ranking lebih rendah di kedudukan ke-11 berbanding Pearly-Thinaah di tempat keenam dunia.

Pearly-Thinaah tewas mudah di set pertama, bagaimanapun mempamerkan kebangkitan pada set seterusnya.

Mereka di depan sehingga pertengahan permainan, namun rentak kebangkitan tidak bertahan lama apabila dipaksa bekerja keras oleh pasangan lawan yang menang 19-21.

Kekalahan di separuh akhir itu adalah yang kedua berturut-turut buat Pearly-Thinaah selepas dikecewakan di Terbuka India minggu lalu.

Mereka kalah kepada satu lagi gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 14-21, 16-21.

Fukushima-Hirota bertemu Liu Sheng Shu-Zhang Shu Xian di pentas final selepas lawan dari China itu menewaskan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (Thailand) 21-11, 21-9.

Pearly-Thinaah menutup kalendar 2022 dengan dua kejayaan iaitu di Terbuka Perancis dan membawa pulang pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham.