[VIDEO] 'Tindakan gantung, pecat ahli tidak berdemokrasi' - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

MUAR – Keputusan UMNO memecat serta menggantung ahlinya termasuk beberapa nama besar daripada parti itu pada Jumaat dilihat sebagai satu tindakan yang tidak berdemokrasi.

Presiden Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan sedemikian (pecat, gantung keahlian ahli) terutamanya melibatkan individu dengan nama-nama besar sebenarnya perlu dilakukan mengikut prosedur.

“Apa sudah jadi dengan UMNO? Macam tiada demokrasi, buat keputusan pecat macam itu sahaja.

“Dia (UMNO) ada perlembagaan, setahu saya dan saya dahulu Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan UMNO... ikutkan kalau seseorang pemimpin atau sesiapa nak dipecat ada prosedur...hantar surat tunjuk sebab, kemudian ada ruang untuk dirayu dan dipertimbangkan.

“Tetapi yang ini dengarnya macam semalam bincang, semalam buat keputusan. Saya tak tahulah mungkin kuasa Presiden agaknya lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut menyifatkan tindakan sedemikian menggambarkan masa depan UMNO yang sudah tersasar.

Malah katanya, pimpinan tertinggi UMNO juga dilihat telah melampaui batas sehingga membuat keputusan (pecat, gantung ahli) tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Saya fikir masa depan UMNO dengan Melayu sudah tiada lagi. Mintak maaflah, Presiden dah bertindak luar batas dengan membawa UMNO ke satu hala tujuan yang bukan difikirkan awal-awal di situ, jauh tersimpangnya.

“Oleh itu, jangan harap pada UMNO lagi kerana UMNO dah tak boleh diharapkan.

“Kalau saya nak fikir dari sudut PN dan Bersatu, kami bersorak...tapi hakikatnya kami tak bersorak dan kita akan terus berusaha untuk memberitahu pada orang Melayu bahawa Bersatu, Pas dan PN khususnya akan jadi parti yang diperjuangkan,” ujarnya.