Leka berjudi sampai tak sedar premis diserbu

Sembilan lelaki ditahan dalam serbuan Op Limau di Sungai Petani, Kedah.
Sembilan lelaki ditahan dalam serbuan Op Limau di Sungai Petani, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai sembilan lelaki yang sedang leka berjudi dicekup dalam serbuan Op Limau di sebuah premis perniagaan di sini kira-kira jam 2.45 pagi, Sabtu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua ditahan berusia antara 23 hingga 47 tahun termasuk seorang lelaki yang mengaku sebagai penganjur pertaruhan.

Menurutnya, serbuan dilakukan anggota dan pegawai dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Kehadiran anggota pada mulanya tidak disedari kesemua lelaki yang sedang asyik berjudi dalam premis tersebut, membuatkan mereka terkejut dan berjaya ditahan," katanya.

Difahamkan, aktiviti perjudian tersebut dipercayai telah berlangsung selama dua hari di lokasi itu yang dikatakan baru sahaja beroperasi.

Wan Hassan berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas dua buah meja, sembilan buah kerusi, 52 daun pakau, wang tunai di atas meja berjumlah RM16,100 dan wang tunai pada badan pemain berjumlah RM4,884.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Rampasan dan tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.