20 penagih ditahan di kawasan rekreasi Gunung Keriang

Kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 60 tahun didapati positif dadah.
Kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 60 tahun didapati positif dadah.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 20 penagih dadah ditahan polis dalam Ops Tapis Khas di kawasan rekreasi Gunung Keriang dekat sini pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua lelaki yang dipercayai tokan turut ditahan dan polis merampas dadah jenis syabu seberat 6.05 gram serta heroin 50.36 gram.

Menurutnya, kedua-duanya yang berusia 24 dan 38 tahun itu mempunyai rekod jenayah lama berkaitan dadah dan kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula Sabtu.

"Operasi ini dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam Jumaat.

"Mereka yang ditahan berusia 22 hingga 60 tahun dan kesemuanya positif dadah," katanya.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar syabu dan heroin, dan disiasat bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 serta selebihnya disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Menurutnya, kesemua mereka berdepan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun selain boleh dikenakan satu hingga tiga kali sebatan jika disabit kesalahan.

"Operasi yang diadakan ini akan diteruskan secara berkala untuk membersihkan kawasan tumpuan orang awam daripada aktiviti dadah dan menjadi sarang penagih dadah," katanya.