FIFA hukum Cavani, Uruguay

Cavani (tengah) dan beberapa pemain Uruguay mengerumuni Siebert selepas aksi peringkat Kumpulan H Piala Dunia 2022 menentang Ghana di Qatar bulan lalu.
Cavani (tengah) dan beberapa pemain Uruguay mengerumuni Siebert selepas aksi peringkat Kumpulan H Piala Dunia 2022 menentang Ghana di Qatar bulan lalu.
A
A
A

PENYERANG veteran, Edinson Cavani dan Diego Godin antara empat pemain yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran kelakuan mereka selepas Uruguay tersingkir daripada Piala Dunia 2022 di Qatar bulan lalu.

Cavani dan Godin yang juga kapten Uruguay dikenakan penggantungan satu perlawanan selain turut perlu melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat dan membayar denda £13,140 (RM69,123).

Pertahanan, Jose Gimenez dan penjaga gol, Fernando Muslera pula dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan dan denda £17,520 (RM92,170) selain diarah melakukan kerja khidmat komuniti bola sepak.

Jawatankuasa Disiplin FIFA turut mendapati Persatuan Bola Sepak Uruguay bertanggungjawab terhadap kelakuan diskriminasi penyokong mereka dalam aksi pada 2 Disember lalu itu termasuk kelakuan pemain.

Atas kesalahan itu menyaksikan FA Uruguay menerima hukuman untuk beraksi satu perlawanan dalam stadium separa tertutup tanpa ada penonton di belakang gawang gol.

Malah, badan induk bola sepak Uruguay itu turut dikenakan denda sebanyak £43,800 (RM230,466).

Uruguay gagal melepasi saingan Kumpulan H walaupun menewaskan Ghana 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan yang mana Korea Selatan meneruskan kemaraan berdasarkan perbezaan jaringan.

Beberapa pemain Uruguay dilihat tidak dapat menerima kenyataan apabila Cavani tidak diberikan sepakan penalti selepas dijatuhkan di kawasan Ghana pada lewat permainan.

Cavani kemudiannya menolak jatuh monitor video bantuan pengadil (VAR) selepas wisel penamat sambil rakan-rakan sepasukannya mengerumuni pengadil, Daniel Siebert.