[VIDEO] ‘Bakar al-Quran seperti bakar jasad umat Islam’

Ahmad Fadhli ketika menyampaikan ucapan semasa demonstrasi solidariti anjuran Pemuda Pas pada Jumaat.
Ahmad Fadhli ketika menyampaikan ucapan semasa demonstrasi solidariti anjuran Pemuda Pas pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan biadab pelampau sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran diibaratkan seperti membakar jasad umat Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Malaysia perlu membantah sekeras-kerasnya perbuatan itu agar tidak berlaku lagi.

“Kerajaan perlu panggil duta Sweden. Ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia benar-benar bertindak,” katanya kepada pemberita semasa demonstrasi solidariti anjuran Pemuda Pas di sini pada Jumaat.

Pada Sabtu, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Satu memorandum tersebut telah disampaikan oleh empat wakil iaitu Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi; Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Penyanyi Rap, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice dan wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Tambah Ahmad Fadhli, ia bukan sahaja satu memorandum bantahan, malahan perhimpunan itu membuktikan umat Islam sedang terluka.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut hadir bagi meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan itu.

Jelas beliau, perkara tersebut adalah tidak diterima dan telah menyakitkan perasaan umat Islam.

“Kita ucapkan terima kasih kepada kedutaan yang sudi terima memorandum ini. Kita mahu tindakan tegas diambil kepada dia (Paludan),” katanya.