Bakar al-Quran: Hampir 1,000 sertai demonstrasi anjuran Pemuda Pas

Hampir 1,000 individu berhimpun di hadapan Kedutaan Sweden sebagai demonstrasi mengutuk tindakan ahli politik sayap kanan dari Denmark, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran.
Hampir 1,000 individu berhimpun di hadapan Kedutaan Sweden sebagai demonstrasi mengutuk tindakan ahli politik sayap kanan dari Denmark, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dianggarkan hampir 1,000 individu berhimpun di hadapan Kedutaan Sweden sebagai demonstrasi mengutuk tindakan ahli politik sayap kanan dari Denmark, Rasmus Paludan membakar nashkah al-Quran.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi berkata, perhimpunan itu dilakukan adalah bagi menyerahkan memorandum kepada kedutaan terbabit.

“Hari ini saya dan rakan-rakan yang lain telah menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan Sweden untuk menyatakan kebencian terhadap perbuatan itu.



“Ini adalah satu tanggungjawab daripada pihak kami untuk mengadakan bantahan ini. Ini bukan penyudah. Kita akan terus memantau,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Pada Sabtu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Memorandum tersebut telah disampai oleh empat wakil iaitu Nazir; Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Penyanyi Rap, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice dan wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Tambah Nazir, sekiranya demonstrasi tidak dilakukan, ia akan menyebabkan al-Quran tidak lagi dipandang tinggi oleh orang luar.

“Boleh jadi kalau tiada perhimpunan seperti ini, akan datang orang lihat al-Quran seperti buku biasa. Kalau ada orang yang bakar kitab suci mereka, adakah mereka akan bersetuju?

“Mengapa mereka lakukan provokasi murahan? Ini bukan kali pertama. Tapi sudah tiga kali dia buat. Perbuatan ini mengancam keselamatan dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Ashraf mendesak agar kerajaan memanggil Kedutaan Sweden untuk menyatakan tindakan yang dilakukan itu adalah dilarang.

“Panggil mereka juga untuk tahu mereka setuju atau tidak dengan apa yang dilakukan oleh ahli politik itu. Kenyataan hanya tiga empat perenggan tidak selesaikan masalah,” ujarnya.

Jelas beliau, perhimpunan yang dilakukan tersebut adalah bukan bersifat politik, alahan mewakili suara majoriti agama di Malaysia iaitu Islam.

“Sewajarnya yang berada di sini juga bukan sahaja pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN), tetapi sepatutnya dari segenap parti politik secara rasmi.

“Ayuh kita menggembleng tenaga, ini soal agama Islam,” ujarnya.