PM Anwar solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid

Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu hijau mengambil kesempatan bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah. - Foto Facebook AMK Setiawangsa
Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu hijau mengambil kesempatan bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah. - Foto Facebook AMK Setiawangsa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid, di sini.

Beliau yang diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, tiba di pekarangan masjid berkenaan kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Anwar kemudian bersama ribuan jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Amanat MenHan (Menteri Pertahanan) Citra Murni Hasrat Perdana Menteri’ yang disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Rashidi dalam khutbahnya berkata, seluruh kerangka besar organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), perlu bersama membina kecemerlangan dan kegemilangan perkhidmatan awam negara untuk melahirkan Malaysia Madani, yang digagaskan Perdana Menteri baru-baru ini.

Anwar sempat menikmati makan tengah hari di gerai Famous D’KL di tapak niaga berhadapan kawasan masjid. - Foto AMK Setiawangsa
Anwar sempat menikmati makan tengah hari di gerai Famous D’KL di tapak niaga berhadapan kawasan masjid. - Foto AMK Setiawangsa

"Ayuh kita sahut saranan Amanat Tahun Baharu 2023 Menteri Pertahanan untuk melihat ATM dan awam kementerian bertaraf dunia melalui empat agenda; mengikhlaskan niat dalam melaksanakan kerja; integriti dan amalan tadbir urus sebagai nilai utama dalam pekerjaan; meningkatkan Iltizam untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh; serta menjauhkan diri dari sifat-sifat Mazmumah,” katanya.

Solat Jumaat kemudiannya diimamkan Leftenan Kolonel Mohd Nizam Termizi.

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu hijau mengambil kesempatan bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah.

Terdahulu, Anwar menikmati makan tengah hari di gerai Famous D’KL di tapak niaga berhadapan kawasan masjid dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bermesra dengan orang ramai. - Bernama