'Gigitan di perut Bella sebab bergaduh dengan Balqis' - Siti Bainun

Siti Bainun - Foto Bernama.
Siti Bainun - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa, kesan gigitan pada perut remaja sindrom Down, Bella adalah disebabkan pergaduhan antara bekas penghuni Rumah Bonda, dikenali Balqis.

Semasa membaca membaca pernyataan saksi pada hari kedua prosiding bela diri di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Siti Bainun, 31, berkata, mereka bergaduh kerana Bella telah menggunakan pencuci muka milik Balqis.

Dia yang memberi keterangan tanpa peguam juga berkata, pergaduhan itu berakhir dengan kejadian gigit-menggigit antara satu sama lain.

Bagi meredakan kesakitan, dia telah meletakkan minyak gamat dan ubat sapu pada perut Bella.

“Saya marah mereka berdua, sama seperti ibu bapa lain menegur dan menasihati anak-anak jika bergaduh.

“Bella faham kalau kena tegur, Balqis lagi lah memahami perkara itu, tapi mereka suka sangat nak bergaduh,” katanya ketika merujuk kepada kecederaan yang ada pada tubuh remaja sindrom Down itu.

Pada April tahun lalu, saksi pendakwaan kelima (SP-5), bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 20, memberitahu mahkamah bahawa, Siti Bainun mengarahkannya supaya menggigit perut Bella.

Dalam pada itu, Siti Bainun berkata, menyentuh isu kesan lecuran, ia berlaku apabila mereka sekali lagi bergaduh pada sekitar Mei 2021, sehingga menyebabkan termos yang berisi air panas tersimbah pada Bella.

Memandangkan kejadian itu berlaku semasa pandemik Covid-19, Siti Bainun membeli ubat bagi merawat kesan melecur itu.

Katanya, luka terbabit telah sembuh dalam tempoh sebulan kecuali di bahagian pergelangan tangan.

“Saya bawa Bella ke Klinik Setapak dan Surgeri bagi mendapatkan rawatan susulan kemudian berjumpa dengan seorang doktor yang agak tua.

“Doktor itu beritahu pada saya, luka Bella semakin mengering,” katanya.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.