Kerajaan perkenal Menu Rahmah bantu miskin tegar

Salahuddin membuat tinjauan semasa jelajah mesra dan pemeriksaan harga menu di Restoran Mak Kimbong, Bandar Baru Bangi.
Salahuddin membuat tinjauan semasa jelajah mesra dan pemeriksaan harga menu di Restoran Mak Kimbong, Bandar Baru Bangi.
A
A
A

BANGI - Kerajaan akan memperkenalkan ‘Menu Rahmah’ dalam masa terdekat sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menu yang akan ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.

Beliau menjelaskan, satu perjanjian memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai bersama beberapa persatuan restoran dan kedai makan bermasak seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran Tomyam Malaysia (Pertom) bagi menjayakan menu berkenaan.

“Setakat hari ini, semua persatuan bersedia untuk mewujudkan menu tersebut. Insya-ALLAH kita akan buat MoU dalam masa terdekat.

“Ini merupakan peranan KPDN yang sedikit sebanyak boleh membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup ketika ini,” katanya pada sidang media selepas sesi jelajah mesra di sekitar Bangi dan Kajang pada Jumaat.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, cadangan Menu Rahmah itu merupakan hasil libat urus bersama pihak berkepentingan seperti kementerian tertentu dan pemain industri untuk mencari kaedah terbaik menangani isu kenaikan harga.

Jelas beliau, perbincangan dua hala itu membincangkan isu harga makanan bermasak yang dijual di restoran dan kedai makan, selain mencari penyelesaian menang-menang termasuk tawaran harga munasabah kepada pengguna.

Salahuddin membuat tinjauan semasa jelajah mesra dan pemeriksaan harga menu di Medan Selera Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi pada Jumaat.
Salahuddin membuat tinjauan semasa jelajah mesra dan pemeriksaan harga menu di Medan Selera Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas mengenai Ops Menu 3.0 yang bermula 23 Januari lalu, Salahuddin memaklumkan, sebanyak 614 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan sembilan tindakan telah dikenakan ke atas peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Operasi ini dijalankan kerana terdapat aduan daripada pengguna tentang harga makanan serta isu pemilik premis yang tidak meletakkan tanda harga seperti yang ditetapkan oleh kementerian.

“Kita mengambil tanggungjawab untuk mengadakan tinjauan pada hari ini dengan mengadakan lawatan mengejut ke beberapa premis perniagaan, didapati ada pemilik kedai yang tidak meletakkan tanda harga.

“Kita tidak terus saman, tetapi ambil pendekatan dengan memberi panduan dan nasihat supaya setiap menu diletakkan tanda harga bagi memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan,” katanya.