Rakyat masih menanti formula terbaharu Rafizi

Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli.
A
A
A

MERAK JALANAN perhatikan kebelakangan ini harga makanan siap masak kadangkala tidak masuk akal. Makan tengah hari dengan lauk ala kadar boleh melebihi RM10. Itu tidak termasuk minuman.

Ini bukan di kedai-kedai yang biasanya M40 menjamu selera, tetapi warung-warung tepi jalan sahaja. Memang tidak masuk akal, tetapi inilah hakikat yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini.

Sebelum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihak yang mempertikaikan formulanya berhubung penawaran dan pemintaan barangan akan terduduk.

Beliau juga berhadapan dengan kemarahan segelintir orang apabila mengajak pengguna memboikot kedai makan dan restoran yang tidak mahu menurunkan harga makanan. Ada kawan-kawan Merak Jalanan yang bertanya, setakat itu sahajakah yang mampu dilakukan oleh Rafizi?

Ramai yang berharap Rafizi boleh melakukan lebih hebat lagi terutamanya melibatkan dasar dan polisi kerajaan.

Ada pula yang secara sinis berkata kepada Merak Jalanan, Rafizi lebih berkesan sebagai pembangkang, kerana ada macam-macam formula untuk menafikan apa yang kerajaan lakukan.

Cuma Merak Jalanan cuba jugalah tenangkan kawan-kawan, kerana bila Rafizi jadi pak menteri banyak prosedur, dasar dan polisi yang perlu dipatuhi.

Semua isu dan masalah perlu dibentang kepada kabinet, diperhalusi serta dirangka penyelesaiannya sebelum dilaksanakan oleh penjawat awam.

Bak kata Rafizi pada sidang media pada Khamis, empat kementerian kini sedang bekerjasama merangka strategi luar biasa berkenaan isu kos sara hidup.

Maka ramailah yang menanti-nanti dengan penuh harapan formula baharu Rafizi. Merak Jalanan percaya, kerajaan hari ini akan terus berusaha untuk mencari mekanisme berkesan menurunkan harga.

Cuma nasihat Merak Jalanan kepada pak menteri, elakkan daripada menyalahkah rakyat sebagai alasan kepada isu kos sara hidup.