Permohonan semakan kehakiman pemilik kelab komedi didengar 23 Mei

Laporan Sinar Harian pada 5 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 5 Januari lalu.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Mei depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman Crackhouse Comedy Club bagi mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik balik lesen perniagaan dan tidak membenarkan dua pemiliknya daripada memulakan sebarang perniagaan di ibu kota, seumur hidup.

Peguam M Pravin yang mewakili pemilik kelab itu, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram ketika dihubungi berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh.

Kedua-dua mereka memfailkan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 24 November lepas dan menamakan, DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.

Mereka memohon mendapatkan pengisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang dan keputusan yang dibuat Jalaluddin dan juga kementerian untuk tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup, malah di bawah nama dan syarikat lain adalah tidak berperlembagaan.

Mereka juga memohon satu perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan itu atas alasan meraka mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan perniagaan dengan lesen yang sah dalam bandar raya ini.

Dalam afidavit sokongan mereka, kedua-duanya berkata pada 17 Ogos tahun lepas Jalaluddin telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Jawatankuasa Pelesenan DBKL membuat keputusan untuk membatalkan lesen kelab komedi itu berkuat kuasa 30 Julai dalam tahun sama dan pemiliknya disenaraihitamkan seumur hidup daripada mendaftarkan perniagaan mereka di Kuala Lumpur, dan ini telah menjejaskan mereka selaku usahawan.

Mohamad Rizal and Shankar juga mendakwa mereka tidak pernah menerima sebarang surat atau notis rasmi daripada DBKL mengenai perkara itu.

Mohamad Rizal sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 22 Julai lepas terhadap tiga pertuduhan jenayah iaitu membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. - Bernama