Bank Rakyat perkenal platform lelongan dalam talian

No Image Caption
A
A
A

BANK Rakyat memperkenalkan platform lelongan secara dalam talian, e-Lelong Ar-Rahnu bagi membolehkan pelanggan membuat bidaan barangan atau barangan emas Pajak Gadai-i di mana-mana sahaja.

Pengenalan inisiatif tersebut bertujuan untuk mempertingkatkan produktiviti dan kecekapan pengendalian sesi lelongan mengikut masa sebenar, selain membantu menjimatkan masa pelanggan dan memastikan tiada ketirisan maklumat berlaku.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Bank Rakyat memaklumkan, pelanggan yang berdaftar boleh mengakses maklumat dengan lebih mendalam mengenai butiran barang lelongan, rekod transaksi lepas, tempat lelongan barangan dan harga rizab dengan lebih lancar dan mudah.

“Identiti pembida juga dirahsiakan yang mana secara tidak langsung dapat meningkatkan ketelusan dan integriti proses lelongan.

“Pelaksanaan platform e-Lelong Ar-Rahnu ini menunjukkan komitmen berterusan bank dalam menyesuaikan capaian platform kepada tawaran produk dan perkhidmatan bank dengan keperluan pelanggan serta persekitaran yang berubah-ubah menerusi penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam operasi perniagaan,” jelas kenyataan berkenaan.

Sebagai permulaan, barangan lelong yang ditawarkan adalah menerusi 10 cawangan Bank Rakyat dan Ar-Rahnu X’Change di Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu di Sentul, Desa Pandan, Jalan Tangsi, Bangsar.

Selain itu, Cawangan Bank Rakyat di Ampang, Shah Alam, Melawati, Serdang Raya dan Seksyen 23, Shah Alam.

Bagaimanapun, tawaran bagi inisiatif ini akan diperluaskan ke semua cawangan Bank Rakyat atau Ar-Rahnu X’Change di seluruh negara secara berperingkat.

Pelanggan yang berminat boleh melayari laman web e-Lelong https://arrahnueauction.bankrakyat.com.my/ untuk mendaftar dan ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat untuk sebarang notifikasi lelongan Pajak Gadai-i.

Sesi lelongan berlangsung setiap bulan iaitu 20 atau 21 hari bulan.