Suspek, mangsa ada hubungan keluarga

Zarina dan laporan Sinar Harian.
Zarina dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

MARANG - Polis mengesahkan suspek lelaki yang ditahan susulan penemuan mayat wanita di dalam semak di Kampung Alor Gali di sini pada minggu lalu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, suspek yang ditahan di Jeli, Kelantan pada Rabu itu dipercayai individu terakhir dilihat bersama mangsa.

Menurutnya, kali terakhir suspek dilihat bersama mangsa kira-kira jam 10 pagi pada 16 Januari lalu.

"Hasil siasatan dan sumber maklumat daripada orang awam berjaya membantu pihak polis mengesan suspek.

"Suspek dikesan mengambil mangsa menggunakan sebuah kereta di Kampung Rhu Renggeh di Marang sebaik mangsa tiba selepas menaiki bas dari Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam pada 15 Januari lalu," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh tidak kurang dari 36 jam.

"Pihak polis percaya hanya seorang suspek sahaja terlibat dalam kes ini. Mangsa juga dipercayai mati di tempat lain dan dijumpai di tempat lain.

"Setakat ini, punca kematian mangsa belum dapat dipastikan kerana tiada kesan kecederaan yang dikesan pada badan mangsa sama ada tetakan, hirisan atau kelaran.

"Pihak polis juga belum dapat mengenalpasti motif kejadian dan siasatan ke atas suspek akan diteruskan," katanya.

Menurut Mohd Zain, suspek yang merupakan seorang pesara berusia 58 tahun itu direman selama tujuh hari bermula 26 Januari hingga 1 Februari depan.

Katanya, perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis mengesahkan mayat wanita tanpa identiti yang ditemukan orang awam di kawasan semak di Kampung Alor Gali di sini pada 19 Januari lalu sebagai Zarina Mukhtar, 57.