MFL perkenalkan sepak mula waktu petang

Aksi Liga Malaysia musim depan akan turut dilangsungkan pada waktu petang.
Aksi Liga Malaysia musim depan akan turut dilangsungkan pada waktu petang.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan waktu sepak mula baharu pada sebelah petang bagi perlawanan Liga Malaysia musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, ia akan melibatkan waktu sepak mula pada jam 5.30 atau 5.15 petang di semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pada jam 4.30 atau 4.45 petang.

Menurutnya, ia langkah pembaharuan dilakukan MFL yang diyakini mampu memberikan dimensi baharu dalam kancah bola sepak negara.

"Sepak mula yang lebih awal ini memberikan kelebihan baharu dan 'new fan base' yang boleh kelab akses. Memang segalanya ada pro dan kontra.

"Tetapi, dari pemerhatian MFL, perubahan ini memberi satu dimensi baru yang positif lebih daripada yang negatif.

"Ia juga untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta mewujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Mengikut kalendar perlawanan yang dikeluarkan MFL, terdapat satu perlawanan dalam setiap minggu Liga Super yang menyaksikan aksi akan berlangsung pada waktu petang.

Manakala, perlawanan lain akan bermula pada jam 8.15 malam dan 9 malam manakala pada bulan Ramadan akan dimulakan jam 10 malam.

Untuk Sabah dan Sarawak pula sepak mula perlawanan pada jam 7.30 malam dan 8.15 malam manakala ketika bulan Ramadan akan bermula pada jam 9.15 malam.

Stuart juga mengharapkan perubahan waktu sepak mula itu dapat diterima dengan baik oleh penyokong dan pasukan.

"Diharapkan pasukan dan penyokong mengambil perubahan ini dalam perspektif yang positif dalam usaha kita membawa industri ini ke arah yang lebih profesional," katanya.