Malaysia, Singapura teliti semula OLOA 1974

Anthony Loke
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Malaysia dan Singapura akan menyemak semula Surat Perjanjian Operasi Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974 (OLOA 1974).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi memastikan usaha itu dapat dicapai, satu jawatankuasa tertinggi telah ditubuhkan melibatkan wakil dari kedua-dua negara.

Menurutnya, hasil daripada perbincangan awal bersama Singapura, negara republik berkenaan juga sudah maklum mengenai permintaan kerajaan yang mahu mengambil semula ruang udara di selatan Johor.

"Kita (Malaysia-Singapura) sudah setuju tubuh jawatankuasa untuk semak semula OLOA 1974 ini.

"Dalam OLOA 1974 dahulu, kita menyerahkan ruang udara iaitu di selatan Johor kepada Singapura untuk uruskan ruang udara ini.

"Selepas 55 tahun, kita sudah banyak membuat pelaburan dari segi sistem kawalan trafik udara, radar dan Pusat Trafik Udara di Sepang akan siap beberapa bulan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat bersama wakil rakyat yang terbabit dengan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di sini, hari ini.

Anthony berkata, proses mengambil ruang udara selatan Johor secara berfasa itu juga akan diumum kepada orang ramai dari masa ke semasa.

Sementara itu, mengulas mengenai fungsi lokomotif lama setelah projek landasan berkembar itu siap, Loke memaklumkan kesemuanya aset berkenaan masih akan digunakan.

Menurutnya, cadangan awal mahu kesemua aset itu digunakan untuk pengangkutan industri dan kargo.

“Keretapi kita gunakan sekarang akan menjalani proses ubahsuai untuk kita gunakan membawa kargo. Sebab sekarang landasan sudah ada sehingga ke Pantai Timur.

“Jadi dengan menggunakan cara ini, kita dapat manfaatkan sesuatu khususnya dari segi kos pengangkutan dan kerosakan jalan akibat pengangkutan berat,” katanya.