Hassan rayu bantuan PM, baiki segera jalan rosak

Hassan Abdul Karim (Gambar kanan : Keadaan Lebuh Raya Pasir Gudang yang rosak teruk dari arah Perking ke Pasir Gudang dan susur ke Jalan Tebrau memerlukan kerja-kerja menaik taraf dengan segera)
Hassan Abdul Karim (Gambar kanan : Keadaan Lebuh Raya Pasir Gudang yang rosak teruk dari arah Perking ke Pasir Gudang dan susur ke Jalan Tebrau memerlukan kerja-kerja menaik taraf dengan segera)
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera membaiki Lebuhraya Pasir Gudang kerana keadaannya yang semakin teruk.

Beliau bimbang dengan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan yang mengundang bahaya bila-bila masa terutama musim hujan ketika ini.

"Saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang mohon dengan jari sepuluh kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru, Pegawai Daerah Johor Bahru, Exco kerajaan Johor, Menteri Kerja Raya dan akhir sekali Perdana Menteri.

"Tolonglah baiki keadaan Lebuhraya Pasir Gudang sekarang yang semakin teruk. Keadaan lebuh raya ini terutama dari arah Perking ke Pasir Gudang dan susur ke Jalan Tebrau sangat teruk.

"Keadaan lebuh raya yang buruk berlubang serta berbahaya bukan di situ sahaja tetapi di banyak tempat lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, masalah tersebut sudah disuarakan sejak 2018 dalam Parlimen selain dalam media cetak termasuk dalam Facebook miliknya yang diadakan secara langsung.

Namun katanya, masalah berkenaan tidak pernah selesai umpama mencurah air di daun keladi.

"Kalau semua agensi kerajaan dan pemimpin tak ambil peduli termasuk rakyat Pasir Gudang yang terkorban mati di lebuh raya ini yang kini seperti perangkap maut, maka, saya menyusun jari memohon Perdana Menteri dengarlah rayuan saya ini. Tolonglah kami," katanya.

Sinar Harian menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat pada 22 Disember lalu, menyiarkan keluhan penduduk di Pasir Gudang berkenaan lebuh raya itu dianggap satu perangkap maut kerana keadaan jalan rosak teruk dan sering mengakibatkan kemalangan.

Ini kerana banyak kemalangan maut berlaku di lebuh raya berkenaan selain pengguna jalan raya terpaksa berdepan masalah banjir kilat.

Difahamkan sebelum ini, kerja-kerja menaik taraf lebuh raya berkenaan terhenti kerana kerajaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan.

Pada 3 Januari lalu, Hassan memberitahu, proses menaik taraf lebuh raya berkenaan yang melibatkan kos RM78 juta akan disambung semula pada tahun ini, namun sehingga kini masih tiada sebarang kerja-kerja dilakukan.