Masih terlalu awal letak sasaran buat Selangor

Tan Cheng Hoe menyifatkan masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran buat skuad Gergasi Merah itu dalam kancah Liga Malaysia. - Foto Selangor FC
Tan Cheng Hoe menyifatkan masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran buat skuad Gergasi Merah itu dalam kancah Liga Malaysia. - Foto Selangor FC
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran buat skuad Gergasi Merah itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah untuk mencari keserasian selain kerja keras yang perlu dilakukan sebelum saingan liga bermula.

“Sudah tentu setiap pasukan mesti ada sasaran. Namun, terlalu awal untuk kita nyatakan sasaran kita.

“Namun, kita akan bekerja keras baik barisan kejurulatihan dan pemain akan berada dalam satu tahap terbaik liga.

“Konsisten pemain juga dituntut daripada pemain kerana jadual yang agak padat dan panjang,” katanya.

Pada musim 2022, skuad kendalian Cheng Hoe itu mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan kelima dengan lapan kemenangan, enam seri dan lapan kekalahan.

Dalam saingan Piala FA pula, Gergasi Merah melangkah ke separuh akhir sebelum terpaksa akur dengan kekalahan kepada Terengganu FC (TFC).

Di Piala Malaysia, Selangor tampil cemerlang menempah tiket final, namun gagal menjuarai piala berprestij itu apabila tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagi musim 2023, Cheng Hoe telah membawa masuk beberapa pemain berkualiti seperti Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran dalam memperkuatkan pasukan.