Pemimpin kanan politik Pakistan Fawad Chaudhry ditahan

Polis Pakistan menahan ahli politik terkenal, Fawad Chaudhry, seorang pemimpin PTI Pakistan dan bekas menteri persekutuan. Foto AFP
Polis Pakistan menahan ahli politik terkenal, Fawad Chaudhry, seorang pemimpin PTI Pakistan dan bekas menteri persekutuan. Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Polis Pakistan menahan ahli politik terkenal, Fawad Chaudhry, seorang pemimpin Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan dan bekas menteri persekutuan.

Fawad, yang berkhidmat sebagai menteri di bawah bekas perdana menteri Imran Khan, ditahan kerana "menghasut untuk melakukan keganasan terhadap institusi perlembagaan", lapor media Pakistan.

Beliau dihadapkan ke mahkamah di bandar Lahore pada Rabu, beberapa jam selepas ditahan di rumahnya.

Fawad sebelum ini mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) selain memberi amaran tentang protes di seluruh negara jika terdapat sebarang percubaan untuk menangkap Imran.

PTI awal bulan ini melepaskan kuasa di Punjab, wilayah paling ramai penduduk yang kini berada di bawah kerajaan sementara sehingga pilihan raya baharu diadakan.

Parti itu membuat bantahan terhadap keputusan suruhanjaya pilihan raya untuk melantik Mohsin Raza Naqvi, pemilik kumpulan media, sebagai ketua menteri baharu Punjab.

Ia menuntut pilihan raya nasional baharu sejak kerajaan persekutuannya digulingkan pada April tahun lepas yang merupakan sebahagian daripada apa yang disebut oleh Imran sebagai konspirasi perubahan rejim yang disokong asing.

Penahanan Fawad mendapat kecaman hebat daripada kepimpinan kanan parti.

"Kerajaan import mengamuk," kata Farrukh Habib, seorang tokoh utama parti itu. - Bernama