Mangsa banjir Johor meningkat 4,368 orang

Anggota APM Johor dan tentera membantu mangsa banjir untuk dipindahkan ke PPS. Foto: APM Johor
Anggota APM Johor dan tentera membantu mangsa banjir untuk dipindahkan ke PPS. Foto: APM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus bertambah kepada 4,368 orang membabitkan 1,218 keluarga yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, bilangan berkenaan berbeza jika dibandingkan dengan 4,207 mangsa banjir membabitkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS pada jam 2 petang.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga kini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

"Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai dengan 1,522 orang daripada 424 keluarga di 20 PPS berbanding 1,521 orang membabitkan 428 keluarga daripada 19 PPS pada jam 2 petang.

"Ini diikuti bilangan mangsa banjir di Kluang iaitu seramai 1,222 orang membabitkan 348 keluarga di 11 PPS berbanding 1,212 orang daripada 348 keluarga ditempatkan di 11 PPS," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Mersing pula mencatatkan penurunan dengan menempatkan 708 orang membabitkan 221 keluarga di empat PPS berbanding 717 orang membabitkan 207 keluarga di empat PPS sebelumnya.

"Bilangan mangsa di Kota Tinggi pula masih sama apabila menempatkan 591 mangsa banjir membabitkan 144 keluarga di enam PPS.

"Batu Pahat pula mencatat 119 mangsa membabitkan 35 keluarga di dua PPS berbanding 151 membabitkan 32 keluarga di dua PPS sebelumnya manakala Muar mencatat bilangan sama iaitu 15 mangsa daripada lima keluarga di tiga PPS," katanya.

Mengikut ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sembilan daripada 10 daerah di Johor akan terus mengalami hujan lebat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai.

Pontian daerah terbaharu dilanda banjir

Dalam pada itu, Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di negeri ini selepas sebuah PPS dibuka pada jam 5.35 petang Rabu.

Azmi berkata, seramai 18 mangsa banjir membabitkan empat keluarga dari Kampung Melayu Raya ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.

Beliau memberitahu, perkembangan terbaharu itu menjadikan Pontian daerah ketujuh dilanda banjir di negeri ini.

"Secara keseluruhan Johor mencatatkan 4,562 mangsa banjir daripada 1,275 keluarga yang ditempatkan di 48 PPS setakat jam 8 malam ini.

"Bilangan ini berbeza jika dibandingkan dengan 4,368 mangsa banjir membabitkan 1,218 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS pada jam 4 petang tadi," katanya.

Beliau berkata, Segamat masih mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai dengan 1,536 orang daripada 431 keluarga di 19 PPS.

Katanya, ini diikuti di Kluang melibatkan 1,235 orang daripada 356 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.

Azmi berkata, Mersing pula mencatatkan peningkatan 851 orang membabitkan 258 keluarga di lima PPS manakala bilangan mangsa di Kota Tinggi pula menempatkan 597 mangsa banjir membabitkan 145 keluarga di enam PPS.

Muar pula ujar beliau, mencatat 206 mangsa membabitkan 46 keluarga di tiga PPS sementara di Batu Pahat mencatat 119 orang daripada 35 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!