Tingkat pengeluaran ayam pedaging 14.8 juta menjelang 2025

Mohamad Khairil (duduk dua dari kanan) berharap MoU antara PKPS dan CP dapat memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi serta dijual pada harga berpatutan kepada rakyat di Selangor.
Mohamad Khairil (duduk dua dari kanan) berharap MoU antara PKPS dan CP dapat memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi serta dijual pada harga berpatutan kepada rakyat di Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijangka berupaya meningkatkan pengeluaran ayam pedaging kepada 14.8 juta ekor menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pengeluaran itu mampu membantu menstabilkan harga dan bekalan ayam di negeri Selangor.

"PKPS ketika ini mengoperasikan ladang ayam pedaging di Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan kapasiti pengeluaran sebanyak tiga juta ekor setahun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

PKPS dalam pada itu menjalin usahasama dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MoU) bersama konglomerat makanan terkemuka dunia, Charoen Pokphand Group (CP) bagi merangka pembangunan ladang ayam ‘breeder’, ladang penetasan (hatchery) dan ladang pengeluaran telur di negeri Selangor.

PKPS dan CP telah menandatangani MoU pada 18 Januari lalu di Ibu Pejabat CP di Bangkok, Thailand sempena lawatan kerja PKPS ke ladang ayam dan telur CP di Wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand.

Dokumen kerjasama ditandatangani oleh Mohamad Khairil selaku wakil PKPS manakala CP diwakili oleh Pengerusi Serantau Kumpulan CP, Sompop Mongkolpitaksuk.

Usahasama itu adalah sebahagian daripada Program Intervensi Harga Makanan Ehsan (PIHE) bertujuan memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi serta dijual pada harga berpatutan kepada rakyat di Selangor.

Mohamad Khairil berkata, PKPS memberi komitmen untuk terlibat secara terus dalam keseluruhan rantaian bekalan ayam dan telur iaitu bermula daripada penghasilan makanan ayam ladang ayam, ladang penetasan, ladang ayam pedaging dan ladang pengeluaran telur.

"Menerusi jalinan ini, PKPS akan mengenal pasti lokasi bersesuaian dan melengkapkan prosedur pembangunan infrastruktur berkaitan manakala CP sebagai rakan strategik sejak 2010 akan membawa kepakaran teknikal," ujarnya.

Tambah beliau, pengalaman dan kekuatan CP sebagai salah satu pengeluar makanan terbesar dunia dengan operasi dan pelaburan di lebih 40 negara akan dimanfaatkan oleh pengurusan PKPS dalam melaksanakan PIHE.

Mohamad Khairil memberitahu, kerangka usahasama itu adalah berdasarkan mandat serta inisiatif daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim.

Justeru, kata beliau, Selangor beriltizam untuk menjadi sebuah negeri mampan dari segi bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import.

“PKPS sebagai salah sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam hal sekuriti makanan negeri merencana projek berimpak tinggi bagi memastikan bekalan makanan asas rakyat Selangor terus mampan untuk tempoh mendatang,” jelasnya

Ujar beliau, skop projek dijangka menelan belanja RM50 juta untuk fasa pertama (breeder) akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pemegang taruh utama seperti Menteri Besar, barisan Exco serta pengarah-pengarah agensi negeri.

Dr Mohamad Khairil menjelaskan, projek usahasama berkenaan juga akan dapat mengurangkan kebergantungan industri ayam tempatan kepada import.

“Dokumen ini juga merangkumi langkah penyelesaian jangka pendek bagi bekalan ayam dan telur segar menerusi kaedah import terus dari ladang CP serta perkongsian ilmu dan latihan antara kedua-dua organisasi.

"CP selaku pemilik pasar raya terkemuka Lotus’s juga akan meneroka potensi kerjasama bagi pemasaran dan penjualan produk Ehsan," katanya.