Orang tengah: Bentang penyelesaian dua bulan lagi

Salahuddin (tengah) mendengar penerangan tentang model bangunan Agromall Puchong yang akan menempatkan lot jualan produk agro makanan dan pelbagai kemudahan lain.
A
A

PUCHONG - Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Isu Orang Tengah yang dianggotai lima kementerian dijangka akan dapat membentangkan cadangan penyelesaian berhubung isu itu dalam tempoh dua bulan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kini pihaknya bersama ketua setiausaha daripada kementerian-kementerian terbabit sedang merangka agenda dan juga perkara-perkara yang akan menjadi terma rujukan dalam menyelesaikan isu tersebut yang dilihat berleluasa dalam sektor perikanan.

"Setelah perbincangan dibuat, kita akan bawa ke peringkat kementerian masing-masing.

"Kita jangkakan akan dapat merumuskan beberapa perkara besar sebagai jalan penyelesaian ke arah memendekkan rantaian pemasaran membabitkan orang tengah termasuk buruh asing yang juga terlibat dalam rantaian itu, " katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong, di sini, hari ini.

Lima kementerian terlibat adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Salahuddin melakukan simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong, di sini, hari ini.
Salahuddin melakukan simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Salahuddin menyifatkan pembinaan Agromall Puchong sebagai satu mercu tanda dalam dunia pertanian yang bukan sahaja menjadi kebanggaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tetapi dapat memacu ekonomi pertanian pada masa akan datang.

Beliau berkata, projek perintis bernilai RM8 juta yang dijangka siap pada Disember 2020 itu akan dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan sebanyak 30 peratus.

"Projek ini akan menjadi saluran pasaran alternatif dengan pengwujudan outlet runcit premium bagi peningkatan jualan produk agro makanan dan produk Industri Asas Tani (IAT) keluaran usahawan tempatan.

"Kita jangka seramai 250 usahawan asas tani akan dapat faedah dari pembangunan Agromall ini dengan sasaran jualan RM18 juta setahun," katanya memberitahu tidak menolak kemungkinan untuk membangunkan Agromall di bandar utama lain.

Projek yang dibangunkan atas tapak seluas tiga ekar itu akan menempatkan lot jualan produk agro makanan, pameran bagi produk industri asas tani dan dilengkapi kemudahan bilik sejuk, tandas, surau serta ruang parkir.

Turut hadir pada majlis, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim, Pengerusi FAMA, Ishak Ismail dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.