Ceroboh Menara Merdeka: PDRM kerjasama Interpol, NCB Moscow

Noor Dellhan Yahaya (Laporan Sinar Harian)
Noor Dellhan Yahaya (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Unit Biro Pusat Nasional (NCB) Moscow bagi mengenal pasti pasangan warga Rusia untuk siasatan kes pencerobohan Menara Merdeka 118 di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini pihaknya telah merekodkan keterangan 13 individu termasuk kakitangan menara terbabit.

"Kita telah minta bantuan Interpol untuk pengesahan selain bantuan NCB Moscow untuk kesan identiti dua suspek terbabit.

"Selain itu, kita juga sedang menunggu laporan analisa video pasangan terbabit oleh pihak Cyber Security. Ketulenan masih belum disahkan lagi," katanya kepada pemberita semasa Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, polis telah menerima maklum balas dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dipercayai pasangan terbabit telah keluar dari Malaysia.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan dalam tindakan untuk dilengkapkan dengan dapatan lain.

"Kita nasihatkan pihak pengurusan mana-mana bangunan yang menjadi tumpuan agar meningkatkan dan perketat kawalan keselamatan," ujarnya.

Polis sebelum itu menerima satu laporan dari pihak Menara Merdeka 118 yang dibuat di Balai Polis Tun H S Lee, pada 29 Disember lalu.

Disember tahun lalu, tular gambar pasangan warga Rusia itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.