Polis siasat ketulenan video ceroboh Menara Merdeka 118

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan ketulenan video berkenaan. - Foto Skyscrapper City
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan ketulenan video berkenaan. - Foto Skyscrapper City
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan keaslian video tular memaparkan sepasang individu dipercayai warga Rusia yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya akan merujuk video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

"Kita sedang bekerjasama dengan SKMM mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video yang ditularkan menerusi laman web 'Sky Scraper City Forum.

"Kita juga sedang dapatkan pengesahan daripada Imigresen berhubung rekod keluar masuk suspek berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa bercakap kepada media ketika ditemui di lokasi Op Khas Malam Ambang Tahun Baru 2023, di Jalan Loke Yew, di sini awal pagi Ahad.

Yahaya berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada pihak pengurusan menara berkenaan selepas video terbabit tular.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan klip video dan gambar yang dimuat naik pasangan berkenaan telah disunting secara digital.

"Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan pihak tidak berkenaan untuk masuk sekali gus memanjat menara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun pihak polis harus menunggu hasil dari siasatan yang dibuat selepas merujuk kepada SKMM dan Imigresen," ujar beliau.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan, polis sedang mengesan sepasang pasangan tular dipercayai warga Rusia kerana disyaki telah menceroboh Menara Merdeka 118 untuk memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan, di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, pasangan yang terkenal dengan aksi memanjat puncak pencakar langit berkenaan menjadi bualan warga tempatan selepas gambar mereka berdua di puncak menara berkenaan dimuat naik di sebuah forum dalam talian.

Forum dalam talian yang dikenali sebagai Skyscrapper City itu merupakan sebuah komuniti yang mengumpulkan pencinta pencakar langit, perancangan bandar dan struktur bangunan dari serata dunia.

Salah seorang daripada pasangan tersebut turut berkongsi gambar dalam satu hantaran di Instagram sambil memberitahu berjaya menawan menara kedua tertinggi di dunia berkenaan selepas berjam-jam mendaki sambil mengelak dikesan kamera litar tertutup dan pasukan keselamatan.