Kisah suka duka OKU cari rezeki sendiri jalani kehidupan

Gambar dari kiri: Aini, Mohd Nazri, Jaheerah
Gambar dari kiri: Aini, Mohd Nazri, Jaheerah
A
A
A

[MUKADIMAH Golongan orang kurang upaya (OKU) dilihat lebih suka bekerja sendiri berbanding makan gaji meskipun pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) bagi penempatan pekerjaan.

Antara pekerjaan yang menjadi pilihan kumpulan ini seperti menjual tisu, pemuzik jalanan dan menjalankan perniagaan tunggal atau perkongsian.

Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar menyelami suara OKU dalam usaha mencari sumber pendapatan dalam menjalani kehidupan seharian.

---

Selain berdepan masalah penglihatan, faktor tidak berpelajaran antara sebab utama OKU memilih untuk bekerja sendiri berbanding kerja dengan orang lain.

Bagi Aini Pius, 47, yang menjual tisu secara sambilan di jejantas berhampiran pusat beli-belah Sogo, pekerjaan pada hari tertentu seperti cuti umum dan hujung minggu dilakukan demi mencari sumber pendapatan tambahan untuk keluarga.

“Dengan pendapatan bulanan suami (juga OKU penglihatan) sebagai tukang urut sekitar RM500 ke RM800, saya ambil inisiatif menjual tisu untuk tambah pendapatan keluarga.

“Saya tampal kad OKU dan harga tisu bagi mengelak salah faham kerana ada orang awam beranggapan saya peminta sedekah sedangkan saya menjual tisu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Wanita yang mempunyai tiga anak dan dua daripadanya masih bersekolah memberitahu, dia memang tidak pernah hadiri temuduga kerja sepanjang hidupnya serta lebih selesa bekerja sendiri.

“Semasa anak-anak masih kecil, saya kerja cari tin dan kotak tapi apabila anak-anak sudah besar, ada perasaan malu untuk bekerja seperti itu jadi saya pilih kerja lain (jual tisu).

“Walaupun tiada pekerjaan tetap namun itu sudah memadai untuk saya tambah sumber pendapatan kerana saya tidak mempunyai kemahiran lain,” katanya yang telah lima tahun menjaja tisu.

Kongsinya, pada hujung minggu dia akan keluar dari rumah sekitar jam 11 pagi hingga 6 petang dengan pendapatan diperoleh sekitar RM50 hingga RM70 sehari.

Sementara itu, seorang OKU cacat penglihatan, Mohd Nazri Mohd Ashri, 31, berkata, dia mencari rezeki dengan menjadi pemuzik jalanan selepas tamat Tingkatan 6 kerana hanya mempunyai bakat menyanyi.

“Saya tidak pernah terfikir untuk mencari kerja lain kerana itu bukan bidang saya dan satu-satunya kemahiran yang saya ada adalah menyanyi.

“Semasa persekolahan, saya aktif menyanyi dengan menyertai konsert anjuran KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) dan saya gunakan kemahiran yang ada sebaik mungkin untuk lebarkan bakat,” ujarnya.

Kata Mohd Nazri, pendapatan diperoleh adalah sekitar RM1,000 sebulan selain mendapat elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

“Jika ikutkan pendapatan itu sekadar cukup makan, ada juga buat simpanan tetapi tidak banyak selepas tolak kos pengangkutan dan sewa rumah.

“Mungkin kerajaan boleh bantu untuk meningkatkan elaun RM1,000 seperti yang dicadangkan sebelum ini.

“Selain itu, kerajaan boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada kami dengan memanggil kami membuat persembahan di program-program anjuran mereka,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Jaheerah Nadzri, 29, yang mempunyai masalah pembelajaran slow learner berkata, dia memilih untuk bekerja sendiri dengan menjual kudapan cornflakes berperisa madu dan telur masin.

Jaheerah di samping gerai burger yang diusahakan bersama bapa dan abangnya.
Jaheerah di samping gerai burger yang diusahakan bersama bapa dan abangnya.

Bagaimanapun katanya, permintaan tempahan yang tidak menentu dan hanya mendapat sambutan tinggi ketika musim perayaan berbanding hari-hari biasa menyebabkannya mencari ikhtiar mencari pekerjaan tambahan lain.

Dia dibantu bapa dan abangnya membuka gerai burger berhampiran rumahnya di Sepang sebagai sumber pendapatan baharu beberapa bulan lalu.

“Ketidakupayaan (masalah pembelajaran) tidaklah ketara sangat cuma segala urusan atau aktiviti yang saya hendak lakukan memerlukan bantuan orang terdekat menyebabkan saya tidak yakin bekerja dengan orang maka saya memilih untuk bekerja sendiri.

“Saya memasang impian untuk memiliki rumah sendiri memandangkan rumah yang diduduki bersama keluarga sekarang adalah rumah sewa selain berhasrat mewakili negeri atau negara dalam sukan petanque,” katanya.

Katanya, bantuan kerajaan setakat ini amat memadai cuma memerlukan penambahbaikan dari sudut mutu pembelajaran di sekolah Pendidikan Khas.

Ibu bapa perlu ada kesedaran pertingkat kemahiran anak OKU

Hati ibu bapa mana tidak risaukan masa depan anak terutama anak OKU yang memerlukan perhatian khusus dalam urusan harian.

Bapa Jaheerah, Nadzri Abd Majid, 66, berkata, dia berat hati melepaskan anaknya bekerja dengan orang susulan lebih tahu tahap keupayaan dimiliki anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Ada juga kawan-kawan Jaheerah yang juga OKU bekerja tetap tapi saya tidak yakin dengan kemampuan anak saya yang masih memerlukan bantuan daripada orang terdekat dalam setiap pekerjaan.

“Dia ada kemahiran berniaga, jadi saya harap kerajaan dapat bantu dari sudut peluang penempatan di Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti gerai atau peralatan yang membolehkannya menerima tempahan jualan dalam skala besar.

“Sebelum ini, tempahan yang diterima dihadkan memandangkan ia dibuat secara manual,” katanya.

Sementara itu, Guru Pendidikan Khas, Saiful Amir Che Hamid berkata, ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa perlu mempunyai kesedaran memberikan pendidikan dan meningkatkan kemahiran anak-anak menerusi pelbagai saluran yang disediakan.

Saiful Amir
Saiful Amir

“Bagi anak-anak pendidikan khas, mereka diberikan kelas kemahiran seperti memasak dan kraftangan yang boleh digunakan oleh mereka sebagai satu punca pendapatan selepas tamat belajar.

“Saya berharap usaha membantu OKU ini tidak tertumpu kepada kerajaan sahaja sebaliknya syarikat swasta atau NGO turut ke hadapan membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka,” kata Saiful Amir.

Ujarnya, perhatian khusus kepada golongan OKU ini tidak seharusnya bersifat statik sebaliknya perlu ditambah baik setiap tahun supaya golongan ini dapat seiring dan bersaing dalam masyarakat.