Kehidupan berpoligami bahagia perlu ilmu, kesabaran tinggi

Mohamad Sabri
Mohamad Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Resipi kehidupan berpoligami yang bahagia memerlukan ilmu dan kesabaran yang tinggi dalam menyelesaikan segala kerumitan dan rintangan sepanjang perkahwinan suami isteri.

Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron berkata, kedua-dua pihak sama ada isteri atau suami perlu jujur antara satu sama lain, duduk berbincang dan meletakkan keutamaan dalam mencari jalan penyelesaian bersama.

“Ilmu itu cukup besar wawasannya dan dalam soal mendapatkan ilmu itu, memang akan ada ujian-ujiannya dan bila seseorang itu bersabar, insya-ALLAH dia akan dapat menguasai (cabaran).

“Cabaran pertama adalah dari sudut emosi-emosi yang ada itu, kadangkala ia menyebabkan seseorang itu tidak fikir tentang agama pun, tetapi hanya fikir nafsu sendiri.

“Jadi di sini saya rasa semua pihak sama ada suami, isteri-isteri yang ada itu mereka kena fikir ‘tangan di atas’ (ALLAH SWT), tangan yang memberi rahmat dan yang berfikir untuk memberikan kebahagiaan kepada yang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujar beliau, apa yang penting adalah suami perlu berlaku adil dan mencari keseimbangan dari segi keperluan untuk semua pihak terutama kepada isteri.

Menurutnya, masing-masing tidak boleh terburu-buru dan terlalu mengikut emosi kerana ia hanya akan memburukkan lagi masalah mereka.

“Kadangkala suami beri tekanan kepada isteri, isteri pun ada, tetapi kita tidak nampak ia akan jadi keharmonian bersama.

“Tetapi kalau masing-masing berfikir untuk membahagiakan antara satu sama lain, insya-ALLAH akan ada rezeki dan keberkatan.

“Sepatutnya mereka kena ikut apa yang dikehendaki oleh syariah itu sendiri. Tentang soal solat tidak boleh diabaikan sama sekali, tidak boleh menipu, kena bercakap benar dan cuba meletakkan cara untuk selesaikan bersama kalau ada masalah,” ujarnya.