Pak Arab disyaki 'skodeng' tandas jiran diberkas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG - Polis menahan seorang lelaki dari Timur Tengah kerana disyaki mengintai dan mencuri seluar di sebuah rumah didiami sekumpulan wanita di sebuah kondominium di Cyberjaya, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pelajar wanita berusia 20 tahun pada jam 2.16 petang.

"Sekitar jam 12.53 tengah hari, salah seorang jiran mangsa bernama Intan yang sedang mengemas rumah ternampak suspek dipercayai seorang lelaki berbangsa Arab sedang membuka tingkap tandas di bahagian tepi rumah mangsa.

"Lelaki berkenaan telah memanjat ruang yang ada di bahagian tepi rumah mangsa untuk mengintai. Intan bertindak keluar dari rumah dan mengejar suspek yang bertindak melarikan diri kerana terkejut.

"Ketika kejadian, tiada siapa di dalam tandas dan mangsa tidak menyedari perbuatan suspek, namun berjaya dirakam oleh jiran mangsa sebelum dia bertindak melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, jiran mangsa terus memaklumkan kejadian berkenaan kepada mangsa dan selepas membuat pemeriksaan, wanita itu mendapati sehelai seluar panjang milik rakan serumah telah hilang dipercayai dicuri suspek berkenaan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya memberkas suspek berusia 23 tahun yang merupakan seorang pelajar di sebuah kolej dalam satu serbuan di kondominium sama, sekitar jam 4 petang pada Selasa.

"Pasukan serbuan merampas sebuah telefon bimbit, baju dan seluar yang digunakan suspek ketika kejadian. Bagaimanapun, seluar milik rakan serumah mangsa belum dijumpai.

"Semakan mendapati suspek yang berasal dari Timur Tengah itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 509/379 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman video memaparkan suspek berkenaan dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok.