Kerajaan Sweden perlu mohon maaf guris hati umat Islam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam susulan daripada tindakan provokatif ahli politik pelampau, Rasmus Paludan membakar al-Quran baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Sweden sepatutnya sedar bahawa mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam.

“Tindakan ini telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan rasa simpati melalui media sosial," katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Tegas Ismail Sabri, kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi.

"Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekalipun.

"Saya kesal dengan tindakan kerajaan Sweden yang membenarkan Paludan membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm baru-baru ini," tegas beliau.