Tiada tekanan buat Aaron-Wooi Yik

Aaron (kiri) dan Wooi Yik perlu meningkatkan fokus dalam permainan sempena saingan Masters Indonesia pada Rabu. - Foto Bernama
Aaron (kiri) dan Wooi Yik perlu meningkatkan fokus dalam permainan sempena saingan Masters Indonesia pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) enggan meletakkan sebarang tekanan ke atas beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan turun beraksi pada kejohanan Badminton Masters Indonesia pada Rabu.

Pengarah Kejurulatihannya, Rexy Mainaky sebaliknya mahu naib juara Terbuka India itu memberi fokus terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Saya tak mahu letakkan tekanan ke atas mereka. Fokus langkah demi langkah dalam permainan. Nikmati permainan sebaiknya.

“Berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Sasaran akan datang selepas itu,” katanya kepada Sukan Sinar.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan akan menentang pasangan dari pusingan kelayakan.

Jurulatih berasal dari Indonesia itu berkata, pasangan negara itu baru selesai kejohanan di New Delhi dan sudah menjalani proses pemulihan daripada aspek mental untuk mengharungi kejohanan seterusnya dalam tempoh singkat iaitu di Jakarta minggu ini.

“Mereka baru habis main di India. Jadi tumpuan sudah diberikan untuk pulihkan mental. Fokus juga diberikan untuk kemaskan lagi corak permainan,” katanya.

Minggu lalu Aaron-Wooi Yik terlepas peluang meraih gelaran sulung dalam Jelajah Dunia BWF apabila sekadar muncul naib juara Kejohanan Badminton Terbuka India.

Dalam aksi final di Dewan Tertutup KD Jadhav, New Delhi itu, mereka terpaksa akur dengan kekalahan 21-14, 19-21, 18-21 kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.