Aaron-Wooi Yik kempunan gelaran juara Terbuka India

Aaron (kanan) dan Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Terbuka India 2023.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Terbuka India 2023.
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas peluang meraih gelaran sulung dalam Jelajah Dunia BWF apabila sekadar muncul naib juara Kejohanan Badminton Terbuka India 2023.

Dalam aksi final di Dewan Tertutup KD Jadhav, New Delhi sebentar tadi, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kekalahan 21-14, 19-21, 18-21 kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Kekalahan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik masih gagal menghapuskan badi ke atas Wei Keng-Wang Chang selepas tewas dalam dua pertemuan tahun lalu - Masters Indonesia dan Terbuka Perancis.

Dengan status naib juara, Aaron-Wooi Yik tetap meraih 'angpau' Tahun Baharu Cina sebanyak AS$29,750 (RM127,493), manakala Wei Keng-Wang Chang membawa pulang AS$62,900 (RM269,557).

Sebelum turun berdepan Wei Keng-Wang Chang, Aaron-Wooi Yik berpeluang mengakhiri penantian mereka untuk merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF sejak digandingkan pada tahun 2017.

Kegagalan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal mengikut jejak langkah bekas beregu lelaki negara, Mohd Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari yang muncul juara Terbuka India 2010.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik belum pernah menjejakkan kaki di podium utama saingan Jelajah Dunia BWF kecuali menjuarai Kejohanan Dunia 2022 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada Sabtu, Aaron-Wooi Yik mencipta sensasi apabila menumbangkan beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 11-21, 21-15, 21-16 dalam aksi separuh akhir.

Pada Terbuka Malaysia 2023 minggu lalu, beregu nombor tiga dunia itu menerima kecaman hebat selepas tersingkir seawal pusingan kedua apabila tewas 10-21, 21-23 kepada gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.