Sindiket pemerdagangan haiwan tumpas

Antara haiwan liar yang dirampas sepanjang operasi berkenaan. Foto: PDRM
Antara haiwan liar yang dirampas sepanjang operasi berkenaan. Foto: PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan beberapa sindiket pemerdagangan haiwan menerusi 35 serbuan di seluruh negara bermula 1 hingga 20 Januari.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, WCB di bawah kelolaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman membuat rampasan keseluruhan berjumlah RM64.77 juta sepanjang tempoh terbabit.

"Dalam operasi berkenaan, pihak polis telah menahan seramai 88 individu yang terdiri daripada 73 warga tempatan dan 15 warga asing menerusi 35 operasi di seluruh negara.

Salah seorang individu yang ditahan bersama kontraban dalam satu serbuan oleh WCB.Foto: PDRM
Salah seorang individu yang ditahan bersama kontraban dalam satu serbuan oleh WCB.Foto: PDRM



"Operasi dijalankan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Kastam 1967 dengan jumlah rampasan bernilai RM42.87 juta, dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 nilai rampasan RM1.2 juta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Antara barang rampasan dirampas dalam operasi di bawah Akta Kastam 1967. Foto: PDRM.
Antara barang rampasan dirampas dalam operasi di bawah Akta Kastam 1967. Foto: PDRM.

Noorsiah berkata, operasi terbabit turut dijalankan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dengan nilai rampasan RM7.72 juta, Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM10.76 juta), Akta Racun 1952 (RM2.2 juta) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (RM5,200).

Pada 4 Ogos Sinar Harian melaporkan, sebanyak 50 perjawatan baharu ditubuhkan untuk ditugaskan di bawah WCB yang berpusat di Bukit Aman.

Perjawatan berkenaan dilaporkan telah mendapatkan kelulusan pihak kerajaan pada pertengahan Julai tahun lalu dalam usaha memerangi jenayah berkaitan hidupan liar khususnya pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan spesis terancam.