Kerajaan Kelantan ambil serius pergaduhan Piala MB

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Wan Roslan)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Wan Roslan)
A
A
A

KERAJAAN negeri Kelantan mengambil serius isu pergaduhan melibatkan aksi Piala Menteri Besar (MB) antara Kok Lanas dengan Gual Periok yang berlaku di Padang Sintetik Jalan Mahmood di sini, pada Jumaat.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya akan membuat penambahbaikan untuk perlawanan selepas ini.

"Bukan sahaja bergaduh, mana-mana pasukan yang melanggar peraturan akan diambil tindakan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, semua pasukan yang bertanding perlu mempamerkan semangat kesukanan dan mengelakkan kejadian yang boleh mencemarkan nama baik negeri.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, tular satu video berdurasi 30 saat memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan pemain bola sepak semasa perlawanan Liga Piala MB Kelantan di Padang Sintetik Jalan Mahmood di sini, pada Jumaat.

Insiden berlaku jam 5 petang itu dipercayai melibatkan pasukan Gual Periok dan Kok Lanas.

Insiden yang berlaku telah diselesaikan semasa perlawanan oleh kedua-dua pasukan berkenaan dan pihak penganjur.

Perlawanan berkesudahan dengan keputusan Kok Lanas (3) dan Gual Periok (2).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.