Lampard, Everton 'berpisah'

Lampard. - Foto Agensi
Lampard. - Foto Agensi
A
A
A

JODOH Frank Lampard bersama Everton tidak bertahan lama apabila berpisah selepas setahun bersama pasukan itu yang kini bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lampard menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2022, tetapi dia yang dipecat Chelsea sebelum ini terpaksa meninggalkan pasukan yang ketika ini menghuni tangga ke-19 liga.

Everton mengalami musim yang suram apabila tewas sembilan daripada 12 aksi terakhir liga.

Sabtu lalu tewas 0-2 kepada West Ham sekali gus meletakkan mereka berkongsi mata dengan pasukan tercorot, Southampton.

Pemilik Everton, Farhad Moshiri sebelum ini memberi kepercayaan kepada Lampard, namun kekalahan kepada West Ham mengubah segala-galanya.

Moshiri menyaksikan sendiri aksi Everton iaitu kali pertama dalam tempoh 14 bulan dan ia sudah cukup untuk membuatkan legenda Chelsea itu dipecat.

"Everton Football Club mengesahkan yang Frank (Lampard) meletakkan jawatannya sebagai pengendali pasukan utama lelaki hari ini (Selasa).

"Everton mengucapkan terima kasih kepada Frank dan barisan kejurulatihannya di atas perkhidmatan mereka sepanjang 12 bulan," ujar pengurusan kelab.

Jurucakap kelab memberitahu, ia satu keputusan sukar, namun itu adalah pilihan yang terbaik.

"Dedikasi dan komitmen Frank serta pasukannya sangat memberangsangkan sepanjang kehadiran mereka di kelab.

"Namun keputusan perlawanan dan kedudukan dalam liga memaksa kami membuat keputusan sukar ini.

"Kelab sudah memulakan proses mendapatkan pengendali baharu dan akan memaklumkannya dalam masa terdekat," ujar jurucakap kelab.

Menjelang aksi dengan pendahulu liga, Arsenal pada 4 Februari ini, sesi latihan akan dikendalikan oleh Paul Tait dan Leighton Baines.

Antara nama-nama yang disebut untuk mengisi kekosongan itu ialah bekas pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa.

Turut tersenarai ialah Sean Dyche dan Sam Allardyce.