Nak tegur pun janganlah sampai jatuhkan air muka orang

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan minta maaf kepada mana-mana pihak jika ada yang akan terasa dengan tulisan kali ini.

Merak Jalanan nak sentuh isu yang tular ketika ini melibatkan nama selebriti besar dan dikenali ramai.

Ini hanyalah pendapat peribadi Merak Jalanan mewakili ribuan penonton di Malaysia yang tidak memahami nota-nota muzik.

Ya, Merak Jalanan bukan lulusan muzik, namun dari kecil sudah diajar untuk sentiasa hormat menghormati orang lain.

Seperti Merak Jalanan menghormati pendapat semua juri-juri dalam pelbagai pertandingan nyanyian yang diadakan di negara kita.

Ramai tidak tahu, Merak Jalanan sebenarnya pernah menjadi juri untuk menilai persembahan peserta.

Merak Jalanan sentiasa berhati-hati menggunakan bahasa berlapik jika diminta memberikan komen supaya tidak menggores hati atau memalukan sesiapa, termasuk menggunakan bahasa tubuh yang tidak menjengkelkan.

Bagi Merak Jalanan, setiap peserta yang masuk dalam sesebuah pertandingan harus diraikan dan diberikan semangat.

Justeru, apabila tular insiden pasangan duo penyanyi dimarahi secara langsung oleh seorang juri pertandingan sehingga menangis di atas pentas, Merak Jalanan tersentuh. Kenapa perlu sampai begitu.

Nama pun hiburan untuk seisi keluarga, jadi tenang-tenang sahajalah.

Ramai yang melemparkan pendapat di media sosial yang kurang senang dengan juri tersebut.

Sepatutnya, bersikap profesionallah tanpa perlu terjerit-jerit.

Merak Jalanan suka melihat Datuk Syafinaz Selamat menjadi juri kerana sentiasa beri teguran berhemah, sekali gus memberi tunjuk ajar. Tiada menunjukkan emosi yang berlebihan.

Apa-apa pun, Merak Jalanan harap isu ini tidak berpanjangan.

Bagi penyanyi yang menangis itu, Merak Jalanan nasihatkan anggap sahaja ia merupakan cabaran sebagai anak seni.