PM adakan lawatan dua hari ke Brunei

Anwar
Anwar
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei selama dua hari, bermula esok.

Ia merupakan lawatan rasmi ke luar negeri kedua buat Anwar, sejak memegang jawatan perdana menteri.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perdana menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kira-kira 3.30 petang esok.

Beliau berkata perdana menteri akan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

"Pada hari kedua lawatan, perdana menteri dijadual menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan pertemuan empat mata,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana menteri dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Pertemuan itu akan disusuli dengan Majlis Santapan Rasmi yang dihoskan Sultan Brunei.

Dalam lawatan itu, perdana menteri diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Zambry; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah. - Bernama