Ter Stegen penyelamat Barcelona

Ter Stegen
Ter Stegen
A
A
A

PENGENDALI Barcelona, Xavi Hernandez menyatakan penghargaan kepada penjaga golnya, Marc-Andre ter Stegen yang bertindak cemerlang menjadi penyelamat ketika kemenangan 1-0 ke atas Getafe dalam aksi La Liga pada Isnin.

Penjaga gol Jerman itu menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada Getafe sekali gus menyaksikan gol tunggal daripada Pedri pada minit ke-35 sudah cukup untuk memberikan tiga mata kepada Barcelona.

"Kami tidak tahu cara menyerang dengan baik, dan secara amnya kami agak tidak bagus dalam perlawanan ini. Kami telah menang tanpa bermain dengan baik.

"Ada kalanya anda tidak bagus dan perkara tidak menjadi seperti yang anda jangkakan tetapi, pemain dapat bertahan dengan baik dan bekerjasama untuk mendapat kemenangan ini," katanya.

Xavi berkata, ter Stegen berhak mendapat pujian dengan pemain berusia 30 tahun itu menyelamatkan tiga peluang gol lawan.

"Ter Stegen tampil di tahap terbaiknya sejak sekian lama. Dalam situasi satu lawan satu dia sangat hebat.

"Dia adalah ketua pasukan, bersikap tegas dan adalah penting dia juga menjadi penyelamat mata," katanya.