Malaysian Tigers alih tumpuan kepada Afrika Selatan

Malaysian Tigers tewas 3-4 kepada Sepanyol menerusi penentuan penalti shootout sudden death dalam saingan Crossover pada Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, di sini. - Foto FIH/World Sports Pic
Malaysian Tigers tewas 3-4 kepada Sepanyol menerusi penentuan penalti shootout sudden death dalam saingan Crossover pada Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, di sini. - Foto FIH/World Sports Pic
A
A
A

PENGENDALI skuad hoki negara, Arul Selvaraj menyifatkan Malaysian Tigers tewas bermaruah, namun tetap berbangga dengan semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya ketika berdepan Sepanyol.

"Ya, kita kecewa tetap kecewa namun kita akan habiskan kekecewaan kita malam ini kerana esok merupakan hari baharu untuk kami dan seterusnya fokus menentang Afrika Selatan.

"Saya juga mengharapkan rakyat Malaysia terus memberikan sokongan jitu kepada skuad negara kerana ianya mampu menyuntik motivasi kepada Malaysian Tigers untuk menamatkan kempen sebagai pasukan kesembilan terbaik kali ini," katanya.

Terdahulu, impian Malaysian Tigers untuk mara ke suku akhir musnah apabila tewas 3-4 kepada Sepanyol menerusi penentuan penalti shootout sudden death dalam saingan Crossover pada Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, di sini.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga akhir perlawanan dengan Malaysia menjaringkan dua gol padang menerusi Faizal Saari (34') and Shello Silverius (48')

Sementara itu, pasukan benua Eropah tersebut pula memperoleh gol sulung menerusi penalti strok Marc Miralles (40') dan gol padang Xavier Gispert (41').

Keputusan itu menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti shootout yang berakhir dengan kesudahan seri 3-3 apabila penjaga gol simpanan Sepanyol, Mario Garin muncul wira selepas menafikan pukulan dua pemain Malaysia, kapten Muhammad Marhan Jalil dan penyerang, Shello - manakala Firhan Ashari, Faizal dan Shahmie Irfan Suhaimi memastikan bola pukulan masing-masing menerjah gawang.

Keputusan itu mengheret perlawanan ke penentuan penalti 'shootout sudden death' yang menyebelahi skuad Sepanyol kendalian, Maximiliano Caldas selepas Marc menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman manakala Firhan Ashaari gagal menyempurnakan pukulannya.