Walau buta mata, tapi Siti Masyitah celik hati

A
A
A

KOTA BHARU - Tiada siapa menduga kehidupan Siti Masyitah Ibrahim, 28, berubah walaupun pernah menghidap kanser mata yang mengakibatkan kedua matanya buta dikala usia tiga tahun.

Bagaimanapun, usaha ibunya, Che Gayah Che Lah, 66, memberi peluang kedua kepada Siti Masyitah untuk meneruskan kehidupan.

Menceritakan keadaan anaknya sebelum diserang kanser, Che Gayah berkata, pada mulanya mata Siti Masyitah kemerahan dan sakit sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Selepas beberapa ujian dilakukan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), dia disahkan menghidap kanser mata," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kampung Lating di sini.

Selepas mendengar keputusan pakar, Che Gayah memberitahu buntu dan simpati kepada anaknya kerana diuji pada usia masih kecil.

Che Gayah terkejut dengan keputusan doktor tambahan pula dimaklumkan hanya seorang dalam 1,000 menghidap penyakit berkenaan.

Menurutnya, mungkin ketika itu tidak banyak pengetahuan mengenai kaedah perubatan penyakit kanser menyebabkan dia memilih berubat secara tradisional dengan beberapa pengamal perubatan.

"Malangnya, penyakit anak saya tidak berubah dan kami sekeluarga kemudian membawanya membuat rawatan di HUSM.

"Siti Masyitah menjalani kemoterapi sebanyak 16 kali dan 12 kali pengambilan sum sum tulang selain tiga kali radio terapi.

"Alhamdulillah setahun selepas itu anak saya bebas kanser walaupun mata kirinya juga terpaksa menjalani pembedahan kerana sel kanser merebak.

"Dia juga mengalami masalah pendengaran pada usia 10 tahun kesan penyakit itu dan memerlukan bantuan alat pendengaran untuk berkomunikasi," katanya.

Sementara itu, Siti Masyitah memberitahu, pada usia tujuh tahun, dia memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kampung Sireh di sini dengan belajar menggunakan tulisan braille.

Anak kedua daripada tiga beradik itu kemudiannya menyambung persekolahan di Kuala Lumpur dan turut belajar teknik mengurut.

"Ahamdulillah saya juga boleh mengaji al-Quran dengan braille dan membantu rakan-rakan lain dari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

Siti Masyitah mengakui pada mulanya agak sukar untuk belajar braille tetapi dia dapat menguasainya dalam tempoh kira-kira tiga bulan kemudian.

Kesungguhan wanita itu berbaloi apabila dia kini bleh mengurut dan berpengalaman selama lapan tahun dalam urutan refleksologi.

Justeru, dia tidak berdiam diri dan tetap berusaha mendapatkan pelanggan walaupun menerima wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450.

"Kami juga tidak ketinggalan dalam bidang teknologi kerana ada aplikasi khas yang membolehkan berhubung selain media sosial seperti Facebook," katanya.