Azizulhasni, Pandelela calon Olahragawan, Olahragawati 2021

Azizulhasni, Pandelela
Azizulhasni, Pandelela
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang disenaraikan antara lima atlet sebagai calon Olahragawan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 pada 31 Januari ini.

Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo.

Turut tersenarai bagi menerima anugerah berprestij negara itu ialah beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang unggul dengan gelaran juara dunia tahun lalu.

Calon lain ialah Buda Anak Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (squash) dan Syarifuddin Azman atau Damok (permotoran dua roda).

Bagi calon Olahragawati pula lima atlet disenarai iaitu ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

Turut berada dalam senarai ialah Meilaura Dora Jimmy (bina badan), Rachel Arnold dan Aifa Azman (squash) dan Nur Amisha Azrilrizal (muaythai).

“Jawatankuasa Pemilihan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali menerima 49 pencalonan untuk 11 kategori.

“Pencalonan itu diterima daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Bahagian Atlet dan Paralimpik MSN serta Urusetia ASN 2021.

“Calon-calon yang yang disenarai pendek adalah berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2021,” kata MSN dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebagai rekod, Azizulhasni pernah meraih gelaran Olahragawan pada 2017, 2010 dan 2009.

ASN 2021 merupakan kali pertama sukan permotoran berada dalam senarai pencalonan utama.

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik, atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin mengetuai pencalonan diikuti Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Cheah Like Hou (para badminton), Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

“Kategori Olahragawati Paralimpik pula menyaksikan tiga pencalonan diterima iaitu Siti Noor Iasah Mohammad Ariffin (para olahraga), Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal) dan Brenda Anellia Larry (para renang),” katanya.

Pemenang Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing bakal menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

ASN 2021 turut menawarkan tujuh anugerah lain iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Majlis ASN 2021 dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Banquet MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.