Melaka sasar kehadiran 8.2 juta pelancong tahun ini

No Image Caption
A
A
A
MELAKA - Kerajaan Melaka menyasarkan kedatangan seramai 8.2 juta pelancong ke negeri ini tahun ini selepas mencatatkan kunjungan lebih 6 juta pelancong tahun lepas.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, bilangan pelancong itu meningkat sebanyak 126.76 peratus berbanding seramai 2.6 juta orang bagi tempoh sama pada 2021.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 5.6 juta orang adalah pelancong domestik manakala pelancong asing 406,517 orang dan tahun ini kita akan memperhebat acara, promosi serta pakej menarik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.



"Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan juga melaksanakan pelbagai insentif menerusi Tourism Melaka antaranya menyediakan insentif sebanyak RM200,000 kepada ejen kembara pelancongan yang membawa pelancong ke lokasi pelancongan milik agensi kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pelancongan Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2023 dan Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Melaka 2023 di Ayer Keroh yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa'ari Basiron.

Muhammad Jailani berkata, bagi merancakkan aktiviti pelancongan, kerajaan Melaka juga merancang melaksanakan 64 acara pelancongan sepanjang tahun dengan 13 daripadanya adalah acara pelancongan utama.

Beliau berkata, antara acara pelancongan utama ialah Raptor Watch, Melaka International Formula Jetski (IFJS) Championship 2023, ASEAN International Regatta 2023, Karnival Warisan Kita, Melaka Durian Fest dan Karnival Udara Antarabangsa Melaka.



"Kesemua acara pelancongan ini boleh dipromosikan di dalam pakej pelancongan masing-masing untuk menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.



"Kesemua penggiat industri juga digalak untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan sedia ada bagi memastikan pelancong menikmati pengalaman yang lebih menarik dan berkualiti apabila bercuti di Melaka,” katanya. - Bernama