Beri ubat PrEP kepada semua golongan

Azrul
Azrul
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen tidak menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor berkenaan larangan pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) kepada pasangan homoseksual.

Ketua Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, menyediakan akses terpilih bagi penggunaan ubat itu adalah amalan buruk dan tidak mempunyai asas dalam kesihatan awam.

Menurut beliau, PrEP sepatutnya diberikan kepada mereka yang memerlukan termasuk golongan homoseksual.

Jelasnya, kunci dalam memastikan rawatan dapat berjalan dengan baik dan bilangan orang dijangkiti HIV dapat dikurangkan adalah tanpa sebarang diskriminasi.

“Nasihat Jabatan Mufti Selangor berhubung isu PrEP adalah maklumat yang salah dan berkemungkinan mengelirukan orang ramai mengenai isu ini.

"Kami telah belajar daripada pengalaman pahit dan tragis masa lalu iaitu kepercayaan, pertimbangan, sikap dan dogma sebegini selalunya membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Jabatan Mufti Negeri Selangor melarang pemberian ubat PrEP yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.

Menurut jabatan itu, pengambilan atau pemberian ubat itu hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.

Jelas Azrul, adalah lebih baik untuk memberikan kepada semua golongan dan tidak menghalang sesiapa daripada mendapat bantuan dan rawatan yang diperlukan.

“Mengapakah kita harus menafikan orang yang berisiko mendapat akses kepada rawatan yang menyelamatkan nyawa?” ujarnya.

Azrul turut mengesyorkan agar Jabatan Mufti Selangor mengkaji semula pendirian mereka mengenai isu tersebut dan berunding dengan pakar penyakit berjangkit serta kesihatan awam Malaysia untuk meningkatkan pemahaman.

“Kita tahu apa yang berkesan dan memberi impak dan apa yang tidak. Kita perlu dibimbing oleh sains, penjagaan berpusatkan pesakit, dan pengalaman orang dan komuniti yang memerlukan perkhidmatan sedemikian,” jelasnya.