Peragut tak sempat lari, dikepung orang ramai

Kejadian berkenaan tular selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok.
Kejadian berkenaan tular selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok.
A
A
A

KAJANG - Cubaan seorang lelaki meragut beg silang milik seorang penghantar makanan membawa padah selepas ditahan oleh orang ramai tidak jauh dari lokasi kejadian di Bandar Mahkota, Cheras di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu tular selepas satu video berdurasi 20 saat dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang telah diragut beg silang miliknya.

"Hasil bantuan orang awam suspek, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun telah berjaya ditangkap dalam jarak lebih kurang 10 meter dari lokasi kejadian mangsa diragut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaid berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan lima rekod dadah.

Beliau berkata, pihak polis menemui kesemua barang milik mangsa termasuk wang tunai, jam tangan, telefon bimbit, dokumen peribadi, lesen memandu, selain beberapa peralatan lain antara spanar, playar, serta pisau lipat.

"Pihak polis turut merampas motosikal jenis Honda yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Suspek direman tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan kes-kes ragut lain di dalam daerah Kajang di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: