Jambatan Sungai Nenggiri tak boleh dilalui akibat hujan

Hujan lebat di kawasan hulu menyebabkan jambatan sementara Pulau Setelu tenggelam.
Hujan lebat di kawasan hulu menyebabkan jambatan sementara Pulau Setelu tenggelam.
A
A
A
GUA MUSANG - Jambatan sementara Sungai Nenggiri yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli di Kampung Pulau Setelu di sini, tidak boleh dilalui selepas tenggelam berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata berikutan itu, ia terpaksa ditutup kepada semua kenderaan sehingga paras sungai kembali normal.

“Kita menempatkan dua anggota APM di lokasi berkenaan bagi mengawasi keadaan selain memberi amaran kepada pengguna jalan raya yang mahu menggunakan jalan tersebut.

“Kita akan mengadakan gotong-royong dengan penduduk kampung untuk membersihkan jambatan tersebut daripada sampah sarap dan sisa kayu-kayan yang hanyut selepas keadaan kembali pulih,” katanya ketika dihubungi.

Seorang pengguna jalan raya, Sulaiman Kadir, 51, berkata beliau menyedari kejadian itu sebaik tiba di jambatan berkenaan pagi ini untuk perjalanan dari Gua Musang ke Jeli.
Artikel Berkaitan:


Katanya berikutan itu, beliau terpaksa menggunakan jalan Gua Musang-Kuala Krai untuk ke Jeli.

"Sudah beberapa kali saya berdepan dengan perkara itu dan terpaksa berpatah balik melalui jalan lain kerana tidak sanggup menunggu air surut," katanya. - Bernama