RM6 bilion diselamat jika kelemahan dikemuka LKAN diperbaiki

Anwar menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi ketika Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi ketika Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sebanyak RM5 hingga RM6 bilion dapat diselamatkan sekiranya kelemahan yang dikemukakan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) diperbaiki.

Berucap menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini pada Khamis, beliau berkata, barisan Jemaah Menteri telah meneliti LKAN 2021 pada Rabu dan mendapati terdapat kelemahan yang dilakukan secara berulang kali.

"Kalau dapat diperbaiki kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara oleh pimpinan politik dan penjawat awam, saya yakin RM5 hingga RM6 bilion boleh diselamatkan, itu dari LKAN,” katanya.

Pada Rabu, Anwar mengarahkan Jemaah Menteri untuk mengambil serius dan meneliti setiap teguran LKAN 2021 tentang soal perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Sementara itu, beliau turut menyatakan keyakinan banyak lagi dana dapat diselamatkan khususnya melibatkan projek besar sekiranya pengurusan kerajaan dijalankan dengan teliti dan cekap.

"Daripada kajian projek besar dan termasuk kekuatan badan penguatkuasaan, sekiranya dijalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab saya yakin berbilion ringgit lagi boleh diselamatkan.

"Kalau kata dana kita kurang RM15 bilion, pengurusan yang cekap dan baik itu boleh menyelamatkan RM15 bilion tanpa projek, ikhtiar dan inisiatif baharu," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: