Mayat wanita ditemukan terapung di Pulau Perhentian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA BESUT - Mayat seorang wanita ditemukan terapung di perairan Pulau Perhentian kira-kira jam 11.30 pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pemancing yang menemukan mayat tersebut bertindak menarik dan mengikatnya pada tali unjang untuk mengelakkannya daripada dihanyutkan arus.

"Pemancing berkenaan kemudiannya memaklumkan penemuan mayat tersebut di Balai Polis Pulau Perhentian.

"Bagaimanapun usaha pihak polis ke lokasi mayat itu berada terpaksa ditangguhkan semalam memandangkan keadaan laut bergelora dan angin kencang,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Azrol berkata, pasukan polis hanya dapat ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam batu nautika dari Pulau Perhentian kira-kira jam 11.15 pagi ini setelah keadaan laut reda.

Menurutnya, mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan hanya berbaju dan memakai sarung tangan kain.

"Identiti mayat tersebut termasuk status kewarganegaraannya belum dapat dikenal pasti dan pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan pada badan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kes orang hilang di daerah ini dan siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti identiti mayat.

Katanya, mayat wanita tersebut kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: