Impian veteran ATM miliki rumah tercapai

Zambery Jeffery (enam kanan) bergambar bersama empat penerima replika kunci rumah di bawah Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Chantek Bangun, Mukim Sanglang, Kangar pada Khamis.
Zambery Jeffery (enam kanan) bergambar bersama empat penerima replika kunci rumah di bawah Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Chantek Bangun, Mukim Sanglang, Kangar pada Khamis.
A
A
A

KANGAR - Impian seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memiliki kediaman sendiri tercapai apabila menerima replika kunci rumah di bawah Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM pada Khamis.

Mohamad Abdullah, 66 berkata, bantuan yang dihulurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM membuktikan keprihatinan kerajaan dan Kementerian Pertahanan dalam membantu anggotanya yang telah bersara.

"Pendapatan yang diperolehi saya semasa bekerja sebagai anggota tentera banyak difokuskan kepada keluarga terutamanya memberikan pendidikan kepada lima orang anak dan pada waktu itu memang belum mampu membeli rumah sendiri lagi.

"Syukur kelima-limanya berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi iaitu di Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, UiTM Shah Alam, UiTM Perlis dan Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dia berkata demikian selepas menerima replika kunci daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jeffery Darus pada Majlis Perasmian Rumah Bina Baru Veteran ATM Negeri Perlis di Kampung Chantek Bangun, Mukim Sanglang, dekat sini.

Tiga lagi penerima yang juga veteran ATM turut menerima replika kunci iaitu Abdul Hamid Pin, Hizam Ibrahim dan Aminah Hamid yang merupakan balu kepada Allahyarham Abdul Rani Aziz.

Mohammad yang pernah bertugas selama 13 tahun di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak memohon rumah baharu di bawah Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM pada tahun 2021 dan bersyukur permohonannya diluluskan.

"Rumah ini siap pada 27 Disember 2022 dan akan diduduki oleh saya, isteri dan anak bongsu selepas ini. Sebelum ini kami tinggal di rumah pusaka keluarga isteri dan kami gembira kerana sudah dapat mendiami rumah sendiri selepas ini," ujarnya yang menerima pencen RM1,200 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zambery Jeffery pada sidang akhbar berkata, setiap rumah baharu yang dibina untuk membantu veteran ATM menelan kos sebanyak RM85,000.

Menurutnya, daripada jumlah itu, JHEV menyumbangkan sebanyak RM65,000 manakala selebihnya adalah subsidi yang ditanggung oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Saya bersyukur kerana rumah ini telah dapat disiapkan dan boleh diduduki oleh pemohonnya. Skim Perumahan Veteran ATM ini adalah untuk memperkasakan veteran-veteran ATM.

"Pada tahun 2023, JHEV ATM telah diperuntukkan sebanyak RM5.74 juta untuk tujuan membaik pulih atau membina rumah baharu golongan ini," kata Zambery Jeffery.

Program ini mula dilaksanakan pada tahun 2021 dan sebanyak 225 buah rumah berjaya dibaik pulih manakala sebanyak 28 buah rumah dibina baharu melibatkan peruntukkan sebanyak RM4.86 juta.

Pada tahun 2022 pula, sebanyak 152 buah rumah berjaya dibaik pulih manakala sebanyak 31 buah rumah dibina baharu dan Implikasi kewangan yang terlibat adalah sebanyak RM4.57 juta.