Lelaki menangis dituduh pukul bapa

Kaviarasan (dua,kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Kaviarasan (dua,kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki mengalirkan air mata selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan memukul bapa menggunakan topi keledar hingga cedera minggu lalu.

C Kaviarasan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan topi keledar terhadap bapanya S Chandran, 58.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Telok Emas di sini pada jam 7 pagi, 12 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 236A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan jika sabit kesalahan.

Dipercayai tertuduh memukul bapanya selepas marah disuruh hidup berdikari dan mencari tempat tinggal sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menangis dan merayu wang jaminan dikurangkan kerana memberikan kerjasama terhadap polis.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 22 Februari depan sebagai serahan dokumen dan lantikan peguam.