Mahkamah benar Isa dapatkan sementara pasport ibadah umrah

Isa Samad
Isa Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menunaikan ibadah umrah pada 10 Februari ini.

Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan Mohd Isa, 73, selepas mendengar hujahan peguamnya, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.

Mohamed Baharudeen berkata, anak guamnya akan berangkat menunaikan umrah pada 10 Februari hingga 23 Februari ini.

"Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 23 Febuari ini dan saya mohon pasport dikembalikan pada 7 Mac,” kata Mohamed Baharudeen yang hadir bersama peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut yang difailkan pada 10 Jan lepas.

Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah berkata, Mohd Isa selaku perayu perlu mengembalikan pasport beliau kepada mahkamah pada 7 Mac ini.

Pada Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan di sini membenarkan permohonan Mohd Isa untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya di sebuah universiti di United Kingdom.

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021 dan rayuan berkenaan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac ini. - Bernama